Pages

Tuesday, 12 May 2020

Gerakan bantu B40 menerusi 'Meja Komuniti'



KUALA LUMPUR, 12 Mei -- Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hari ini mengagihkan bantuan kepada lebih 100 penerima program Prihatin Rakyat, terutamanya golongan B40, menerusi projek ‘Meja Komuniti’ di ibu pejabat parti itu.
Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata  antara barang bantuan yang diagihkan kepada orang ramai ialah beras, minyak masak, tepung dan barang-barang kering yang lain.
"Ini (Meja Komuniti) adalah rancangan nasional yang dipromosikan oleh parti Gerakan. Matlamat parti Gerakan ialah membantu golongan berpendapatan rendah dan orang-orang yang memerlukan bantuan di setiap konstituen seramai mungkin.
"Memandangkan Gerakan mempunyai sumber yang terhad, projek ini dimulakan di ibu pejabat parti Gerakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor sebagai permulaan dan seterusnya berkembang ke negeri lain secara berperingkat," katanya dalam kenyataan.
Katanya  projek di ibu pejabat utama Gerakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru itu beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, bermula 9 pagi hingga 5 petang. 
"Oleh kerana cara agihan berkonsepkan 'first come first served', pemohon perlu mematuhi syarat. Mereka mesti terdiri daripada warganegara Malaysia, penerima bantuan BSH (Bantuan Sara Hidup) dan hanya layak menerima sekali sahaja untuk setiap orang," katanya yang berharap matlamat itu mendapat sokongan orang ramai.
Katanya projek itu akan diteruskan sehingga negara pulih daripada COVID-19 bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik itu.


Thursday, 7 May 2020

Tingkatkan Langkah Keselamatan Pusat Pengasingan Pandemik




KUALA LUMPUR, 6 Mei -- Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai hari ini menyifatkan langkah keselamatan yang dipraktikkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipertingkatkan dan ditambah baik selaras dengan perkembangan semasa. Tindakan itu sejajar dengan situasi yang membabitkan kes 7 warga asing yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes COVID-19 melarikan diri dari pusat kuarantin di Kuala Lumpur kelmarin.
Beliau juga mengecam tindakan tidak bertanggungjawab warga asing terbabit kerana membahayakan diri sendiri dan membawa risiko kepada orang lain. Melarikan diri dari pusat pengasingan adalah perkara yang serius. Tindakan mereka akan mendedahkan orang lain yang sihat mudah dijangkiti.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata demikian dalam kenyataannya hari ini.
“Tindakan perlu dilakukan segera untuk mengesan dan menangkap semula mereka serta mengenakan tindakan yang tegas dan setimpal sebagai peringatan. Kerajaan perlu mempertingkatkan langkah kawalan di semua pusat pengasingan Covid-19 untuk mengelakkan kejadian sebegitu berulang pada masa akan datang.”
Beliau juga menjelaskan tindakan seperti itu cukup untuk menggagalkan usaha membendung pandemik ini. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil tindakan dan mengenakan hukuman yang setimpal ke atas mereka.
Sebagai contoh, kerajaan boleh mencontohi Singapura yang menarik balik hak bekerja warga asing sekiranya melanggar perintah pengasingan yang diperuntukkan dan tidak akan dibenarkan untuk kembali bekerja di Singapura selama-lamanya.
Manakala majikan pekerja asing juga akan terkesan sama kerana mereka akan dikenakan tindakan dan tidak boleh memohon pekerja asing selama 2 tahun berikutnya.

DATUK DR. DOMINIC LAU HOE CHAI
PRESIDEN PARTI GERAKAN RAKYAT MALAYSIA