Gerakan sudah serah nama calon kepada PM
Menjelang PRU 13
KUALA LUMPUR - Senarai nama calon Gerakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah pun disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal bulan ini.

Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, separuh daripada senarai nama calon Gerakan terdiri daripada muka baru sebagai usaha mencerminkan pembaharuan yang dilakukan oleh parti itu.

"Kami telah serahkan senarai kami, orang yang kami nilai (dan calonkan) ialah yang (calon) yang paling boleh menang. Tetapi ini masih belum muktamad kerana kami melaksanakan proses penilaian berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan tujuh buah buku dalam bahasa Mandarin yang menghimpunkan rencana tujuh anggota parti itu mengenai politik dan isu semasa yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina sejak Mac 2008, di sini, hari ini.

Buku kompilasi rencana Teng Chang Yeow, Liang Teck Meng, Dr Dominic Lau Hoe  Chai, Dr Thor Teong Gee, Teoh Hang Chong, Tan Kah Leong dan Cheah Cheng Huat itu boleh didapati di beberapa kedai terpilih di negara ini.

Sementara itu,  mengenai kenyataan bekas naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang menganggap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak harus disokong dan diberi peluang bagi menjayakan program transformasi yang sedang dilaksanakannya, Tsu Koon berkata, Tunku Abdul Aziz adalah seorang yang tidak berat sebelah dalam memberi pandangan.

"Dia memang memberi pandangan yang seimbang, di mana yang betul dia kata betul, tak betul dia kata tidak. Beliau seorang yang tidak berat sebelah, itu pada pemerhatian saya," katanya.

Beliau berkata, Tunku Aziz juga seorang yang berpegang teguh kepada pendiriannya, dan bersikap telus dan berintegriti. - Bernama