Pages

Wednesday 28 February 2018

GERAKAN tampil 60 peratus calon baharu


KUALA LUMPUR: Percaturan politik GERAKAN bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal menyaksikan hampir 60 peratus muka baharu calon parti itu dipertandingkan.
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong, turut optimis parti akan memberi prestasi lebih baik dalam misi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, berbanding PRU-13.
Sehubungan itu, katanya, senarai calon GERAKAN yang bakal diketengahkan pada PRU-14 sudah diberikan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, untuk pertimbangan lanjut.
"Di Pulau Pinang, kita jangkakan parti berupaya mengambil bahagian di DUN, berbanding keputusan yang memperlihatkan GERAKAN gagal memenangi sebarang kerusi pada PRU-13.
"Kita yakin prestasi GERAKAN pada PRU-14 akan lebih baik, sekali gus membantu kemenangan menyeluruh BN untuk membentuk kerajaan," katanya pada sidang media selepas penangguhan Persidangan Perwakilan Nasional Ke-46 GERAKAN, hari ini.
Siew Keong berkata, GERAKAN mempunyai 45 kerusi tradisi yang bakal ditandingi, malah ketika ini dalam fasa rundingan untuk pertukaran dengan rakan parti komponen BN.
Selain itu, katanya, kajian realistik menunjukkan GERAKAN berupaya memenangi lima kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN pada PRU-14 jika momentum jentera parti terus utuh.
"Mengenai siapa calon yang bakal menyandang jawatan Ketua Menteri jika GERAKAN menang di Pulau Pinang, saya mengambil pendirian untuk tidak terlalu teruja memikirkan soal itu.
"Lebih baik untuk GERAKAN bekerja sedaya upaya menempuh PRU-14 manakala perkiraan mengenai siapa calon Ketua Menteri akan diserahkan kepada keputusan bersama parti," katanya.
Membidas pendirian Kerajaan Pulau Pinang mengenai isu banjir, Siew Keong mempersoalkan jumlah projek yang diluluskan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng, sepanjang sembilan tahun menerajui tampuk pemerintahan.
Berdasarkan rekod, Siew Keong berkata, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, ketika pemerintahannya meluluskan empat pelan pembangunan perumahan, berbanding 39 projek yang dikemukakan DAP.
"Saya nak tanya DAP khususnya Guan Eng, berapa banyak sebenarnya projek yang sudah diluluskan sepanjang beliau memegang tampuk pemerintahan.
"Adakah benar jumlah ini meningkat hampir 10 kali ganda, iaitu dari empat kepada 39 projek sepanjang sembilan tahun beliau memerintah?" katanya.

No comments:

Post a Comment